Khamis, 12 Februari 2009

PR Selangor bermesyuarat hari ini, bincang ADUN hilang ?.

Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan mengadakan satu mesyuarat hari ini bagi membincangkan bagaimana untuk menghentikan semua spekulasi yang timbul termasuk kehilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mesyuarat yang akan dihadiri Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat itu turut akan membincangkan isu-isu semasa berkaitan negeri itu.

Beliau turut menafikan mengenai berita kehilangan Badrul Hisham seperti yang 'dibimbangi' Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Klang, Aziz Johari.

''Tak ada ...Saya rasa di Klang pun mereka tak jumpa satu sama lain... Tapi sekarang oleh kerana beberapa insiden yang berlaku di Perak kita agak sensitif tentang perkara ini.

''Esok saya akan jumpa dengan semua Ahli Parlimen dan ADUN untuk adakan perbincangan supaya tidak ada spekulasi yang akan diutarakan oleh mana-mana pihak," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini petang ini.

Aziz mengulas mengenai perkara berkaitan di dalam sebuah akhbar tempatan semalam yang bimbang dengan kehilangan Badrul Hisham sejak lima hari lalu yang kononnya ada kaitan dengan Barisan Nasional (BN).

Ditanya sama ada semua Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat akan hadir pada mesyuarat esok, Abdul Khalid berkata, mereka yang ada di dalam negara dan tidak mempunyai urusan yang lebih penting pasti akan hadir.

Menjawab mengenai ura-ura beberapa ADUN pakatan pembangkang di Selangor akan melompat parti, Abdul Khalid sambil ketawa berkata:

''Dia orang tak berani melompat... Ini spekulasi... Pada saya setiap Ahli Parlimen dan ADUN bukan sahaja bertanggungjawab pada parti tetapi juga pada rakyat yang telah mengundi mereka.

''Jadi terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan."