Selasa, 14 Oktober 2008

Lupa Vs Ingat

Dipetik oleh Mayangdesa dari tulisan
Oleh Abu Bakar Kassim


Lupa dan ingat adalah dua perkara yang sering dikaitkan dengan proses pembelajaran. Adakalanya pelajar tidak dapat mengingatkan pelajarannya baik secara lisan atau tulisan walaupun telah membacanya berulang kali. Kadang-kadang tidak sampai pun separuh daripada isi bacaannya yang dapat diingati. Adakalanya belum pun habis tajuk yang dibaca, ia sudah lupa isi bacaan pada bahagian permulaan tadi.
Mengapa Lupa?
Apakah yang menyebabkan kita lupa? Untuk menjawab persoalan ini, ada baiknya jikalau kita mengetahui sebab-sebab kita menjadi lupa. Antaranya ialah:
1 Gangguan
Kita menjadi lupa oleh kerana banyak gangguan. Maksudnya selepas kita membaca atau mendengar sesuatu, kemudiannya kita membaca atau mendengar pula yang lain maka perkara yang sebelum itu akan luput dari ingatan.
2 Tumpuan fikiran
Satu lagi kemungkinan seseorang itu cepat lupa ialah sewaktu ia membaca atau mendengar sesuatu, ketika itu tumpuan perhatiannya tidak sepenuhnya kepada apa yang dibaca atau didengarnya. Ini menyebabkan ingatan kepada perkara tersebut tidak dapat dipertahankan lebih lama.
3 Faktor masa
Sesuatu yang telah anda pelajari beberapa bulan yang lampau mungkin tidak dapat diingati dengan sepenuhnya hingga hari ini. Ini disebabkan oleh lama masa yang telah berlalu. Dalam tempoh itu banyak perkara baru yang anda pelajari itu mengambil tempat dalam ingatan anda.
Membina Daya Ingatan
Untuk mengatasi masalah lupa, anda perlu mempunyai beberapa panduan. Memanglah kalau boleh kita mahukan segala yang dipelajari itu tersimpan kekal dalam ingatan buat selama-lamanya. Tetapi ini tidak mungkin berlaku. Bagaimanapun, panduan di bawah ini dapat membantu anda mengingati sesuatu dengan lebih lama.
a Minat
Ahli-ahli psikologi berkata dan bersetuju mengatakan, minat memainkan peranan penting dalam pembelajaran. Seseorang pelajar mestilah mempunyai minat yang tinggi untuk mempelajari sesuatu. Ia tidak akan dapat mengingati perkara yang dipelajari jika sekiranya ia tidak berminat dalam perkara tersebut.
b Pilihan
Amatlah mustahil bagi seseorang untuk mengingati secara terperinci akan semua isi penting dalam satu perkara yang telah dipelajarinya. Oleh yang demikian, ia perlu memilih isi-isi terpenting saja. Isi-isi kecil tidak perlu dibimbangkan. Cara ini lebih mudah untuk mengingati isi-isi tersebut. Dalam membuat pilihan isi-isi terpenting itu anda hendaklah menggunakan kebijaksanaan. Misalnya apabila membuat nota-nota pelajaran, jangan anda cuba mencatatkan setiap perkataan yang tertulis dalam sesuatu tajuk itu. Catatkan isi-isi terpenting saja.

c Tumpuan fikiran
Anda perlu memberi tumpuan fikiran sepenuhnya terhadap
perkara yang dibaca atau dipelajari. Tanpa tumpuan fikiran
sepenuhnya, anda tidak mungkin dapat mengingati idea-idea
penting.

d Pemahaman
Anda mesti terlebih dahulu memahami idea atau konsep
perkara yang dibaca atau dipelajari. Fahaman yang
mendalam terhadap perkara tersebut perlu diperolehi terlebih
dahulu. Jikalau tidak mustahil dapat anda mengingati isi-isi
penting dalam perkara yang dipelajari.

e Ulangan (LATIHAN)
Tidak ada kaedah atau prinsip yang lebih penting untuk
mengingati sesuatu melainkan melalui ulangan. Anda mesti
mengulang-ulang sesuatu yang ingin diingati. Ulangan ini
boleh dilakukan melalui bacaan, percakapan, perbincangan
atau penulisan.

f Perkaitan (Assosiasi)
Kita dapat mengingati sesuatu dengan mudah sekiranya
dapat mengaitkan perkara tersebut dengan perkara atau idea
yang ada kaitan dengannya. Misalnya, cuba fikirkan latar
belakang, kejadiannya atau perkara sebelumnya, sehingga
terbayang perkara yang anda hendak ingati itu. Cara
assosiasi atau perkaitan ini dapat membantu ingatan anda.

g Tubi belajar (Over learning)
Dalam proses pembelajaran, terdapat peringkat-peringkat
seperti berikut:
(i) Peringkat pertama ialah mendengar atau mengetahui sesuatu perkara buat pertama kali.
(ii) Peringkat kedua dapat memahami perkara yang didengar atau yang diketahui itu.
(iii) Peringkat ketiga dapat menggunakan perkara tersebut.
(iv) Perkara keempat atau terakhir mencipta yang baru, berdasarkan pengetahuan atau pengalaman yang baru didapati. Proses ingatan juga hampir sama. Anda hendaklah membaca dan membaca beberapa kali, mengulangi dan mengulangi lagi sehingga perkara tersebut benar-benar terlekat dalam ingatan anda. Ini suatu cara bagaimana mengekalkan ingatan dengan lebih lama.


Apa Kata Editor
Remaja Perlu Bersifat Terbuka
Tuduhan dan tohmahan membuatkan remaja lemas dan rimas. Apakah tidak ada remaja yang baik yang boleh dicontohi. Hanya keburukan sahaja harus ditonjolkan. Kebiasaannya perkara yang tidak baik yang mendapat perhatian. Manakala kebaikan tidak dapat dilihat.
Pepatah Melayu menyatakan, kuman di seberang laut nampak manakala gajah di depan mata tidak nampak.
Memandangkan hal ini sudah lumrah alam, maka remaja mesti memperbaiki diri, mengisi masa muda dengan pelbagai aktiviti berfaedah.
Tunjukkan di mata masyarakat bahawa remaja juga mampu menempa kejayaan sama ada dalam pelajaran mahupun pekerjaan. Usia muda meniti kejayaan dan kecemerlangan apabila dewasa kelak.
Di mana pun kita berada agama hendaklah dijadikan benteng keimanan. Tanpa agama yang kukuh mudah menerima perkara-perkara yang negatif.
Remaja seharusnya menyimpan azam dan tekad untuk menjadi warga Malaysia yang cemerlang dunia dan akhirat. Jadikanlah kejayaan di dunia jambatan menuju ke akhirat.
Remaja hendaklah bijak membahagikan masa, antara urusan sekolah (bagi yang masih menuntut) atau pekerjaan dengan ibu bapa dan adik-beradik. Jika tidak pandai membahagikan masa, mendisiplinkan diri mungkin kemajuan diri yang hendak dicapai agak kelam-kabut.
Yakinlah terhadap kebolehan diri sendiri. Setiap manusia dianugerahkan dengan kebolehan. Hanya berkat usaha, kesunggguhan dan keyakinan boleh dicapai. Kalau hanya setakat angan-angan sahaja sampai bila pun, kita masih ditakuk lama.

Yakin Boleh
Membina Keyakinan remaja
Oleh Zubaidah Ibrahim
Remaja berkeyakinan adalah remaja yang bakal berjaya dalam hidupnya. Dengan memiliki semangat dan keyakinan, dia tidak akan berasa ragu-ragu akan keupayaan sebenar dalam dirinya. Apabila melakukan sesuatu perkara, dia akan meneruskannya walau apa jua cabaran yang datang. Bagaimanapun, untuk membina keyakinan diri dalam diri remaja yang berada dalam suasana persekitaran mencabar, bukanlah mudah. Panduan yang bakal diberi, sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu remaja membina keyakinan diri untuk mencapai matlamat hidup sebagai seorang yang berjaya.

1. Mengenal pasti kelebihan dan kelemahan yang ada dalam diri. Kelebihan atau kekuatan dalam diri boleh dijadikan aset utama untuk membaiki kelemahan yang ada. Harus diingat, buangkan segala sifat rendah diri atas kekurangan diri kerana setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Itulah keadilan Tuhan terhadap semua makhluk-Nya. Perkara yang mesti dilakukan ialah cuba membaiki segala kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan kerana semua orang pernah melakukan kesilapan. Oleh itu, pastikan kesilapan yang telah dilakukan, tidak berulang untuk kali kedua.


2. Sentiasa menjadikan orang lain yang berjaya sebagai contoh dan bukannya orang tidak berjaya sebagai ikutan, kerana ia hanya akan melemahkan semangat yang sedia ada. Bertemulah dengan mereka yang telah berjaya dan meminta nasihat serta perangsang daripada mereka.


3. Elakkan daripada bergaul, mendengar dan memikirkan kata-kata orang lain yang melemahkan semangat untuk berjaya. Sebaliknya, jadikan kata-kata negatif itu sebagai perangsang untuk membuktikan tanggapan mereka salah dan kita juga boleh berjaya seperti orang lain.


4. Belajar bersabar untuk merasai kesusahan kerana orang yang menang dan berjaya, bermula daripada merasai kesusahan dan kepahitan. Lantaran itulah, adanya peribahasa yang berbunyi, “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Sesungguhnya di sebalik kepayahan itu ada kesenangan seperti firman Allah dalam surah al-Insyirah, ayat 5 - 6 :
“Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan.
Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan”.

5. Beritahu kepada seseorang seperti ibu bapa, sahabat atau mereka yang rapat dan berjanjilah dengan mereka kita akan melakukan perkara yang diingini sampai berjaya. Dengan cara ini, kita tidak cepat putus asa kerana teringat janji kita kepada mereka dan adalah berdosa jika kita memungkiri janji kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang menyatakan salah satu daripada sifat orang munafik ialah apabila berjanji, dia memungkirinya.


6. Jika dipertengahan jalan terasa sukar dan ingin menghentikan perkara yang dilakukan, tiupkan kata-kata perangsang dalam diri seperti, “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan” atau “Alang-alang mandi, biar basah” dan sebagainya. Sentiasa ingat, Allah tidak menyukai hamba-Nya yang mudah putus asa. “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu) pada hal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”. (Surah Ali Imran: 139)


7. Sentiasalah mempunyai sifat mensyukuri nikmat Allah dan jangan sekali-kali bangga diri atau sombong setelah menemui keberhasilan daripada usaha yang dilakukan. Kita hanya berusaha dan Allah lebih berhak menentukan segalanya. Sekiranya Dia menghendaki, usaha yang hampir berjaya atau telah berjaya itu, boleh digagalkan-Nya semula. Oleh itu, tambahkanlah rasa syukur kita kepada Allah dengan selalu menyembah-Nya dan menambah ibadat-ibadat yang lain, sebagai tanda terima kasih kepada-Nya.


8. Jika tanda-tanda kegagalan mula menghampiri, anggaplah itu cubaan dari Allah semata. Bangkitlah dari kegagalan itu dan insya-Allah Dia akan menggantikannya dengan yang lebih baik daripada sebelumnya, asal sahaja kita reda dengan ujian-Nya itu. Allah berfirman:
“Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memerhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali, kemudian mereka tidak juga mahu bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)”.
(Surah at-Taubah : 126)
Semaikan sifat tekun, gigih dan sabar kerana tanpa sifat itu, semua perkara yang dilakukan tidak akan berjaya tiba ke matlamat. Berazamlah dari mula hingga ke akhir, kita akan meneruskan kerja yang dilakukan hingga ke noktah terakhir walau apa pun akan berlaku. Sesungguhnya untuk berjaya dengan cemerlang memerlukan banyak pengorbanan dan kesabaran.
Akhir sekali, di sepanjang melakukan perkara tersebut dari mula hingga akhir, berpeganglah kepada satu prinsip, iaitu “Berdoa dan Bertawakal”. Berusaha dengan tekun, di samping itu sentiasa berdoa agar perkara yang dilakukan itu berjaya dan diberkati-Nya. Setelah segalanya selesai, tawakal atau berserahlah kepada-Nya. Allah S.W.T. Maha Berhak menentukan segala-galanya, kerana Dialah yang mengatur segala urusan hidup makhluk-Nya. Rasionalnya, keyakinan kita yang padu dan kukuh kepada Allah dan mentaati perintah-Nya adalah kekuatan utama untuk membina keyakinan dalam diri dan seterusnya berjaya dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Wahai orang-orang yang beriman! kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakan-Nya) kepada kamu ketika kamu (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulur tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan kepada Allah jualah (sesudah bertakwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri”.
(Surah al-Maaidah: 11)
Kerjaya
Perancangan Kerjaya Di Kalangan
Remaja
Oleh Khairani Bt Abd Hamid
Memilih kerjaya yang bersesuaian dengan diri remaja serta memenuhi segala cita rasa remaja itu sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan perancangan yang teliti dan teratur yang sudah tentunya tidak dibuat di saat remaja itu terdesak untuk mencari dan memilih kerjaya. Pemilihan dan perancangan kerjaya sebenarnya adalah sebahagian dari proses perkembangan diri individu yang telah bermula sejak di peringkat awal kanak-kanak lagi. Proses kehidupan dan perancangan kerjaya berlaku seiring secara berterusan.
Jika dilihat di peringkat awal perkembangan remaja, biasanya remaja masih belum dapat membuat keputusan yang tepat tentang pemilihan kerjaya mereka. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya seseorang individu itu di peringkat sekolah rendah akan mengatakan dia hendak menjadi doktor. Tetapi apabila masuk tahap menengah rendah mungkin ia akan memilih untuk menjadi akauntan dan seterusnya apabila mencapai tahap menengah tinggi mungkin pula berubah untuk menjadi guru. Perubahan dari segi pemilihan kerjaya ini akan berterusan ke peringkat akhir remaja, awal dewasa, pertengahan dewasa sehinggalah individu itu mencapai tahap kepuasan kerjaya dalam dirinya barulah dia dapat menumpukan perhatian kepada sesuatu kerjaya yang tertentu.
Dalam membuat perancangan kerjaya remaja perlulah berhati-hati agar keputusan yang dibuat nanti merupakan keputusan yang terbaik bagi dirinya. Adakalanya remaja membuat pemilihan kerjaya tanpa terlebih dahulu mendapatkan bimbingan dari kedua ibu bapa, guru, kaunselor atau pakar yang dapat membimbing dan menasihati remaja tersebut. Di sini peri pentingnya peranan kaunseling kerjaya diwujudkan di sekolah-sekolah.
Remaja perlu dan sewajarnya mendapatkan bimbingan serta kaunseling kerjaya agar ia dapat membuat pertimbangan yang matang tentang kerjaya yang akan diceburinya nanti. Ini juga boleh mengelakkan remaja dari terpengaruh secara langsung dengan rakan sebaya yang juga berada di tahap ketidakpastian tentang pemilihan perancangan dan kerjaya mereka. Tiadanya perancangan dan penetapan matlamat yang jitu tentang masa depan kerjaya mereka akan mengakibatkan remaja berada dalam keadaan terumbang ambing tanpa arah tertentu untuk dituju.
Justeru itu juga adalah menjadi tanggungjawab kedua ibu bapa untuk membantu anak remaja mereka dalam membuat perancangan kerjaya untuk memupuk minat kerjaya di kalangan remaja. Ini adalah kerana pemilihan kerjaya merupakan suatu proses yang telah berlaku sejak di peringkat awal perkembangan individu itu lagi. Namun begitu, sebelum seseorang remaja itu membuat pemilihan serta perancangan kerjaya bagi dirinya ia terlebih dahulu perlulah memahami dirinya. Tanpa kefahaman tentang diri sendiri sudah tentu remaja sukar untuk membuat keputusan tentang pemilihan kerjayanya.
Untuk itu dalam proses perancangan kerjaya, adalah penting bagi remaja membuat penerokaan diri serta menganalisis kekuatan dan kelemahan diri agar ia dapat membuat pertimbangan tentang di mana dan apakah potensi yang ada padanya. Remaja harus dan perlu mengetahui dan mencari serta menyerlahkan kebolehan diri mereka serta mempamerkan diri yang telah sedia ada dalam diri individu. Selain dari ciri-ciri ini, remaja juga perlu mengenalpasti terlebih dahulu apakah matlamat diri yang hendak dicapai dalam jangka waktu yang tertentu bagi memudahkan lagi ia membuat perancangan kerja bagi dirinya. Dengan adanya penetapan matlamat kerjaya akan memudahkan dan melicinkan lagi proses perancangan kerjaya serta tindakan yang perlu dilakukan oleh remaja itu sendiri akan nampak lebih jelas.
Di samping menentukan matlamat, remaja juga perlu sedar akan minat serta kecenderungan dirinya. Ini adalah kerana minat serta kecenderungan merupakan salah satu faktor penentu dalam proses perancangan dan pemilihan kerjaya remaja. Tanpa minat dalam sesuatu perkara sudah tentu remaja tidak dapat komited dengan apa yang akan dilakukan dan diceburinya nanti. Oleh itu remaja perlulah memupuk minat ke arah bidang kerjaya yang mungkin menjadi pilihannya. Minat ini boleh dipupuk dengan pelbagai cara antaranya dengan pendedahan melalui pembacaan atau lawatan. Tidak ketinggalan juga ibu bapa berperanan dalam membantu memupuk minat remaja ke arah kerjaya yang ingin diceburinya.
Memahami serta mengenali diri remaja bukanlah setakat mengenalpasti kekuatan, kelemahan diri, minat serta penetapan matlamat diri, malah ia juga merangkumi sekali bagaimana remaja membina konsep kendiri mereka. Dalam ertikata lain bagaimana remaja melihat diri mereka yang sebenarnya. Sekiranya seseorang remaja itu menganggap dirinya pemalu, kurang mesra dan tidak suka bergaul, sudah tentu beliau tidak wajar untuk memilih kerjaya yang sering memerlukan beliau berjumpa dengan orang ramai. Begitulah sebaliknya bagi remaja yang bersifat terbuka, suka bergaul, periang sudah tentu akan merasa tertekan seandainya ia terpaksa bekerja di pejabat sepanjang masa dan jarang dapat berjumpa dengan orang lain.
Oleh itu adalah penting remaja mengetahui tentang konsep kendirinya agar mudah ia membuat penyesuaian dengan kerjaya yang akan dipilihnya nanti. Sehubungan dengan konsep kendiri, faktor nilai juga menjadi penentu dalam mempengaruhi remaja membuat pemilihan kerjaya mereka. Faktor nilai ini penting bagi mengelakkan remaja membuat pemilihan kerjaya yang bertentangan dengan sistem nilai dan norma masyarakatnya. Remaja yang berpegang teguh pada nilai akan dapat membuat pemilihan kerjaya yang wajar dan bermakna pada dirinya. Berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelas kepada kita bahawa untuk merancang masa depan kerjaya bukanlah satu perkara yang mudah yang boleh dibuat sambil lewa sahaja. Malah ia memerlukan perancangan yang rapi yang melalui berbagai proses di setiap peringkat usia lagi. Apatah lagi bagi remaja, mereka amat perlu dan wajar diberi bimbingan yang sebenarnya tentang perancangan dan proses pemilihan kerjaya agar mereka dapat memahami dengan jelas apa yang akan mereka ceburi nanti. Namun proses perancangan dan pemilihan kerjaya tidak berakhir di sini. Terdapat juga faktor-faktor lain yang perlu difikirkan. Umpamanya faktor persekitaran dan sebagainya yang akan dibincangkan dalam keluaran seterusnya.
Remaja dan Alam Perubahan
Oleh Aminudin Mansor
Semua manusia atau insan di dunia ini akan mengalami alam remaja. Alam remaja paling mengasyikkan, penuh khayalan, menyeronokkan dan segala-galanya ada dalam alam remaja.
Alam remaja menurut kajian ahli psikologi terbahagi kepada tiga iaitu, remaja awal, remaja pertengahan dan remaja akhir. Tentulah ketiga-tiga alam ini berbeza dan memberikan pelbagai pengalaman dalam hidup seseorang.
Zaman permulaan remaja ditempuhi dengan secara tiba-tiba. “Ketika itu saya masih ingat bagaimana proses perubahan yang berlaku ke atas diri saya. Perubahan ini dapat dilihat kepada rakan-rakan perempuan pada zaman kanak-kanak dahulu. Mereka juga mengalami perubahan seperti saya. Saiz badan semakin membesar dan tinggi. Ayah dan ibu begitu gembira apabila melihat anak mereka sudah remaja. Walaupun saya gembira kerana menjadi remaja, tetapi kadang-kadang perasaan bimbang, takut dan malu sentiasa menyelubungi dalam diri saya. Perasaan ini berlaku di peringkat awal. Saya sering ditertawa oleh kawan apabila bercakap. Suara saya sudah berubah. Lama-kelamaan ketawa mereka kian hilang. Mereka mula memahami bahawa mereka juga remaja. Remaja akan menghadapi pertumbuhan badan yang stabil apabila mereka berada di peringkat akhir remaja.
Di samping perubahan fizikal, remaja juga menghadapi perubahan dari segi mental dan perasaan. Ketika di peringkat awal, minda dan fikiran remaja sentiasa berubah-ubah. Seolah-olah mereka tidak ada pendirian. Berbagai-bagai perkara yang difikirkan oleh remaja. Tetapi di peringkat ini remaja belum boleh berfikir dengan matang lagi. Lebih-lebih lagi dalam membuat keputusan. Di saat inilah remaja memerlukan bimbingan dari ibu bapa, guru dan orang yang mereka percayai seperti rakan sebaya.
Kebanyakan remaja mempunyai perasaan yang sensitif dan emosional. Mereka cepat marah apabila dicabar dan dinasihati. Kadang-kadang menonjolkan sifat mementingkan diri. Mereka akan berasa sedih dan tertekan apabila dimarahi. Mereka berasa gembira apabila dipuji dan dihargai. Sesetengahnya berasa malu, akhirnya remaja mesti menerima hakikat bahawa mereka seharusnya boleh belajar berfikir dengan secara matang, bertindak mengikut kebijaksanaan, bersabar apabila menghadapi sesuatu dugaan, tidak boleh mementingkan diri sendiri dan memelihara tingkah laku mereka dengan baik.
Remaja perlu bersyukur kerana mempunyai ayah dan ibu yang mengerti dan memahami perasaan anak remaja. Oleh itu segala nasihat dan tunjuk ajar mereka hendaklah didengar dan diberi perhatian, supaya remaja boleh berfikir dan menilai sebelum membuat sebarang tindakan. Ayah dan ibu kita telah lama hidup. Mereka telah melalui alam remaja terdahulu daripada kita.
Perkembangan luaran - Otot-otot dan saiz badan semakin besar, ketinggian bertambah, perubahan pada suara, tumbuh rambut pada sesetengah anggota badan, muka ditumbuhi jerawat dan suka berhias untuk kelihatan kemas, segak dan tampan.
Perkembangan dalaman/emosi - Minda sudah boleh berfikir, emosional dan sensitif, bersikap pentingkan diri sendiri, perlukan perhatian dan suka dihargai, mudah dipengaruhi atau suka meniru dan pemalu serta menyepi diri.
Cinta adalah perasaan kasih sayang. Ianya merupakan naluri anugerah Allah dalam sanubari setiap insan sama ada lelaki atau perempuan. Al-Quran telah menjelaskan kenyataan ini.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”.
(Surah Ali Imran:14)
Melalui cinta manusia dapat menjalinkan hubungan mesra dan mengeratkan perpaduan di antara satu dengan lain. Islam menggalakkan rasa cinta dipupuk dalam jiwa setiap umatnya, agar dapat mewujudkan suatu kehidupan yang indah dan harmoni.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”.
(Surah al-Hujurat:13)
Dari maksud ayat di atas jelaslah bahawa perkenalan itu adalah satu faktor yang boleh melahirkan perasaan kasih sayang dan cinta-mencintai antara satu dengan lain.
Menurut Islam, cinta seorang manusia kepada Allah dan Rasul-Nya, merupakan martabat yang paling tinggi. Ianya mengatasi segala-galanya kerana cinta ini akan kekal abadi dan dapat melahirkan insan yang beriman serta taat, sentiasa melaksanakan amalan kebajikan dan menghindarkan diri dari kemungkaran.
Kita wajib mencintai Allah kerana Allah adalah Tuhan yang telah mencipta alam ini. Oleh itu wajarlah kita melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sentiasa mengingati-Nya sehingga terhenti perjalanan nafas kita. Malahan sanggup mengorbankan harta dan jiwa kerana-Nya, seperti pengorbanan Sahabat-sahabat Rasulullah kerana cinta mereka terhadap Islam. Itulah cinta sejati.
Ibu bapa adalah orang yang berjasa kerana melahirkan, membesar dan menyayangi anak-anaknya. Mereka sanggup mengorbankan harta, tenaga dan jiwa untuk membesar dan membahagiakan kehidupan keluarganya.
Para ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya ke atas diri anak-anaknya. Oleh itu menjadi kewajipan seorang anak untuk membalas cinta mereka itu sepenuhnya. Anak-anak mesti mentaati dan membahagiakan hati kedua-duanya.
Firman Allah S.W.T. :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
(Surah al-Isra’ ayat: 23)
Dalam hadis Rasulullah s.a.w., baginda telah menjelaskan tentang kewajipan mencintai, mengasihi dan mentaati perintah ayah dan ibu kita.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Reda Allah itu berada dalam reda orang tua, dan murka Allah itu berada dalam murka kedua orang tua.” (Riwayat al-Bukhari)